Kita perlu mengubah minda setiap rakyat agar lebih peka dan menghargai alam sekitar. Selain penguatkuasaan undang-undang, rakyat perlu terus dididik agar cintakan alam sekitar. Undang-undang mungkin berkesan dalam kes-kes tertentu, tetapi kesedaran yang meluas dalam kalangan rakyat akan memberikan kesan jangka panjang yang lebih mantap.
Pada masa ini memang terdapat program kesedaran alam sekitar terutamanya menerusi media elektronik dan media cetak. Namun demikian, mesejnya seakan-akan tidak sampai kepada sebahagian besar rakyat. Banyak orang tidak membaca surat khabar dan mendengar berita atau hanya menonton program televisyen dan membaca ruangan akhbar yang bercorak hiburan sahaja. Oleh itu, ruangan kesedaran alam sekitar di media utama perlu diperluas dengan penyampaian yang lebih menarik dan disesuaikan dengan setiap kelompok masyarakat.
Di peringkat sekolah, pendidikan alam sekitar sebenarnya telah lama diterapkan dalam beberapa mata pelajaran melalui pendekatan Alam Sekitar Merentas Kurikulum. Sekolah-sekolah juga digalakkan menubuhkan Kelab Pencinta Alam. Guru-guru penasihat pula dilibatkan dalam pelbagai aktiviti di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Sekolah-sekolah juga boleh mengadakan program sungai angkat dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar. Program kesedaran alam sekitar perlu diadakan secara berterusan dan seharusnya melibatkan semua pelajar.
Kejayaan program ini sangat bergantung kepada komitmen dan kreativiti guruguru. Mereka perlu peka akan isu semasa tentang alam sekitar untuk menarik minat dan tumpuan pelajar. Selain itu, proses penghayatan hubungan manusia dan alam sekitar akan lebih berkesan jika pelajar-pelajar dibawa melihat sendiri realiti sebenar di luar bilik darjah. Namun ini memerlukan masa pengajaran yang lebih lama di samping pelaksanaannya yang agak mencabar. Selain pendekatan Alam Sekitar Merentas Kurikulum, program kesedaran alam sekitar turut boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Atasi Perosak Alam Sekitar”, oleh Zulkifli Yusop, dalam Utusan Malaysia, 2 Mac 2007.)
CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA JAWAPAN
No comments:
Post a Comment