Monday 19 December 2011

SOALAN 5

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan kokurikulum kepada para pelajar. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk dan membentuk keperibadian unggul seseorang pelajar. Misalnya, melalui kelab dan persatuan pelajar-pelajar dilatih untuk memegang beberapa jawatan penting dan bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang dirancang.
Melalui aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar juga dilatih memahami prinsip-prinsip asas alam pekerjaan yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan dewasa nanti. Pendedahan seumpama ini melalui aktiviti kokurikulum membolehkan mereka bertindak dan membuat keputusan yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang berwawasan.
Melalui aktiviti badan beruniform pelajar banyak belajar tentang perkara yang menyentuh soal disiplin seperti kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa mementingkan diri sendiri adalah antara nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Penglibatan yang aktif dalam kokurikulum menyediakan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang amat berbeza dengan corank pembelajaran di sekolah. Dalam hal ini, pelajar yang tidak aktif dalam kokurikulum berkemungkinan kurang kemahiran berkomunikasi dan lemah dalam membuat persembahan, sedangkan kemahiran tersebut amat  diperlukan dalam sistem pembelajaran institusi pengajian tinggi.
Seseorang pelajar yang kurang aktif dalam kokurikulum cenderung menjadi pelajar yang pendiam, tidak suka bergaul serta hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, apabila mereka berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti mereka akan terperangkap kerana pada masa itu jumlah pangkat A yang mereka perolehi di sekolah dahulu tidak lagi menjadi ukuran, tetapi pelajar yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum semasa di sekolah akan lebih mudah belajar kerana mereka sudah belajar menyiapkan sesuatu tugasan, memahami pentingnya perpaduan, mudah bertoleransi dan ada kemahiran berfikir dan berhujah.
Justeru, pelajar-pelajar harus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kerana pelajar yang cemerlang ialah mereka yang seimbang dari segi akedemik, mudah  berkomunikasi dan mudah bergaul.

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA




SOALAN 4

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca gejala sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Gejala sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari ini. Malah, gejala ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa.

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mereka, khususnya yang bekerja di kawasan bandar. Ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif akibat bergaul dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang.

Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, Contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar dapat melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA 




SOALAN 3

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.

Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA 




Wednesday 14 December 2011

SOALAN 2

 Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah untuk menangani isu pencemaran sungai. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 Sekarang sudah tiba masanya kita mencari pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh dalam menangani isu pencemaran sungai. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan undang-undang. Proses pendakwaan bukan suatu yang mudah. Pendakwaan memakan masa dan memerlukan kepakaran teknikal di pihak pendakwa. Ada kalanya penjenayah alam sekitar lebih bijak mencari kelemahan undang-undang dan akhirnya proses perundangan boleh memihak kepada mereka.

Kita perlu mengubah minda setiap rakyat agar lebih peka dan menghargai alam sekitar. Selain penguatkuasaan undang-undang, rakyat perlu terus dididik agar cintakan alam sekitar. Undang-undang mungkin berkesan dalam kes-kes tertentu, tetapi kesedaran yang meluas dalam kalangan rakyat akan memberikan kesan jangka panjang yang lebih mantap.

Pada masa ini memang terdapat program kesedaran alam sekitar terutamanya menerusi media elektronik dan media cetak. Namun demikian, mesejnya seakan-akan tidak sampai kepada sebahagian besar rakyat. Banyak orang tidak membaca surat khabar dan mendengar berita atau hanya menonton program televisyen dan membaca ruangan akhbar yang bercorak hiburan sahaja. Oleh itu, ruangan kesedaran alam sekitar di media utama perlu diperluas dengan penyampaian yang lebih menarik dan disesuaikan dengan setiap kelompok masyarakat.

Di peringkat sekolah, pendidikan alam sekitar sebenarnya telah lama diterapkan dalam beberapa mata pelajaran melalui pendekatan Alam Sekitar Merentas Kurikulum. Sekolah-sekolah juga digalakkan menubuhkan Kelab Pencinta Alam. Guru-guru penasihat pula dilibatkan dalam pelbagai aktiviti di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Sekolah-sekolah juga boleh mengadakan program sungai angkat dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar. Program kesedaran alam sekitar perlu diadakan secara berterusan dan seharusnya melibatkan semua pelajar.

Kejayaan program ini sangat bergantung kepada komitmen dan kreativiti guruguru. Mereka perlu peka akan isu semasa tentang alam sekitar untuk menarik minat dan tumpuan pelajar. Selain itu, proses penghayatan hubungan manusia dan alam sekitar akan lebih berkesan jika pelajar-pelajar dibawa melihat sendiri realiti sebenar di luar bilik darjah. Namun ini memerlukan masa pengajaran yang lebih lama di samping pelaksanaannya yang agak mencabar. Selain pendekatan Alam Sekitar Merentas Kurikulum, program kesedaran alam sekitar turut boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Atasi Perosak Alam Sekitar”, oleh Zulkifli Yusop, dalam Utusan Malaysia, 2 Mac 2007.)

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA JAWAPAN





SOALAN 1

SOALAN 

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan makan buah-buahan tempatan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia. Jambu batu merupakan buah yang paling berkhasiat bagi membekalkan vitamin kepada tubuh manusia. Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu.

Selain dimakan begitu sahaja buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara penyediaannya perlu asli, iaitu tidak ada gula di dalamnya. Menurut Dr. Rokiah, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan. Beliau menyarankan agar buah jambu batu dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan. Katanya, bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol dalam darah, iaitu 18.8 peratus dalam masa seminggu.

Selain jambu batu, buah betik juga boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak 19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu. Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram sehari. Betik juga terkenal sebagai bahan pelawas kerana mengandungi Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C berkesan merawat hemoroid atau bawasir dan sembelit. Nanas turut tergolong dalam kumpulan buah yang mengandungi vitamin yang tinggi dan boleh diambil dalam jumlah yang sama, iaitu 400 gram. Menurut Dr. Rokiah lagi, asid yang ada dalam nanas membantu tubuh dan tidak memudaratkan mereka yang mengambilnya. Dalam nanas ada tambahan vitamin C dan nanas turut berfungsi sebagai antioksida. Malahan nanas juga berupaya menurunkan paras kolesterol sebanyak 8.38 peratus dalam masa tiga minggu sahaja.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Khasiat Buah-buahan Bantu Kurangkan Kolestrol” oleh Aizawati Ahmad dalam Utusan Malaysia, 3 November 2002)


CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA






LATIHAN 8

Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)




Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang peranan remaja dalam menghayati kemerdekaan. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Setiap tahun, sambutan kemerdekaan diadakan meriah supaya warganegara Malaysia mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dan meningkatkan rasa cinta akan negara. Remaja negara ini seharusnya bersyukur kerana lahir dalam suasana pascamerdeka yang serba aman makmur. Namun, di sebalik kemakmuran dan kejayaan yang dicapai, para remaja harus menyedari kepentingan menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar agar kemerdekaan negara dijaga dan dihormati. Dalam usaha menyambut kemerdekaan, remaja juga seharusnya merenung dan menghayati hakikat kemerdekaan itu sendiri.

Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud merdeka daripada penjajahan kuasa asing malahan bermakna bebas daripada penjajahan pemikiran. Era globalisasi kini banyak memberikan pendedahan kepada golongan remaja terhadap kepelbagaian budaya dan idealisme. Pengaruh media massa yang amat kuat menyebabkan sesetengah daripada golongan remaja memandang tinggi terhadap segala yang datang dari Barat itu. Sungguhpun dunia Barat amat maju dalam pelbagai bidang namun kemodenan mereka ada kepincangannya.

Kemodenan dan kesenangan yang dimiliki tiada maknanya andai anak- anak semakin tidak menghormati ibu bapa, pelajar tidak menghormati guru, atau ajaran agama ditinggalkan. Hal ini merupakan satu pengajaran buat kita dalam usaha kita untuk mencapai kemajuan. Kita masih boleh maju, namun remaja perlu mempunyai acuan tersendiri untuk maju tanpa mengabaikan nilai-nilai murni yang kita miliki. Seandainya kita masih berpegang dengan pendirian bahawa segala yang datang dari Barat itu adalah baik, bermakna kita belum merdeka sepenuhnya. Dalam erti kata lain, Barat tidak salah, tetapi kita harus berwaspada terhadap proses pembaratan.

Dalam menikmati kebebasan, para remaja seharusnya tidak lalai dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan. Remaja seharusnya sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk memajukan diri dan negara. Apabila negara membangun dalam keseimbangan, negara akan lebih disegani dan dihormati oleh negara lain. Sekiranya ini tidak menjadi asas pegangan, maka negara akan jauh ketinggalan daripada aspek pembangunan fizikal dan rohaniah.

Sememangnya setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan itu menyediakan peluang untuk remaja bergembira atau bersuka ria. Namun remaja harus bijak memilih agar tidak terjebak dengan acara-acara yang mungkin membawa remaja ke arah mendekati perkara negatif. Apa yang menyedihkan, kita sering mendengar kisah remaja yang terlibat dengan gejala negatif pada malam sambutan kemerdekaan, seperti meminum arak, penyalahgunaan dadah, kegiatan lumba haram dan pergaulan bebas.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Menghormati Kemerdekaan Negara”, oleh Mohd Farid Md. Alias, dalam  Utusan Malaysia, 23 Ogos 2007.)

LATIHAN 7

Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya  menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
           
Dewasa ini, bidang pertanian dilihat sebagai satu cabang kegiatan ekonomi yang penting serta berupaya menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin banyak usahawan tani di negara ini tampil menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan moto ’Pertanian Adalah Perniagaan’. Bidang pertanian juga dilihat sebagai satu industri berskala besar yang mampu menjamin pulangan dan keuntungan yang tinggi, serta bersaing di pasaran global.
Teras dasar sektor pertanian secara keseluruhan akan ditumpukan kepada usaha orientasi semula sektor ini ke arah pengkomersialan yang lebih meluas dan melahirkan petani berpendapatan tinggi, serta menggalakkan pelaburan sektor swasta. Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian melalui pembangunan tanah baharu, tanam semula penyatuan dan pemulihan tanah, serta penggunaan lebih meluas klon dan baka berhasil tinggi. Penjenteraan ladang dan amalan agronomi juga antara usaha yang baik ke arah peningkatan produktiviti. Sektor kecil komoditi makanan dijangka berkembang pada kadar purata 7.6 peratus setahun melalui penambahbaikan kecekapan dan produktiviti serta penambahan keluasan. Pengeluaran padi akan ditingkatkan untuk mencapai sasaran tahap sara diri 90 peratus manakala pengeluaran buah-buahan akan dilaksanakan secara berskala besar di zon pengeluaran buah-buahan menggunakan pendekatan berkelompok dan ditumpukan kepada sembilan jenis buah-buahan yang berpotensi untuk dieksport.
Pengeluaran sayur-sayuran pula akan ditumpukan kepada jenis bernilai tinggi untuk penggunaan tempatan dan pasaran eksport terpilih. Pogram Buku Hijau untuk menggalakkan pengeluaran makanan oleh masyarakat setempat akan diaktifkan semula. Pengeluaran akuakultur dan aktiviti penangkapan ikan laut dalam. Selain itu, industri ternakan akan ditumpukan kepada pelbagai aktiviti di sepanjang rantaian termasuk pengeluaran baka dan makanan haiwan. Keluaran ternakan terutamanya daging, ayam, itik dan telur akan terus ditingkatkan melalui penggunaan sistem pengeluaran moden untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.
 Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menegaskan bahawa sektor pertanian negara kini sudah melangkah ke era baru menggunakan kaedah moden dengan menekankan kaedah penggunaan bioteknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Hal ini demikian kerana usaha murni ini merupakan komponen utama dalam RMK-9 dan sektor pertanian diyakini bakal menjadi enjin pembangunan ketiga negara selepas sektor perkilangan dan perkhidmatan. Tegasnya, pertanian baharu pacuan ICT ini turut berkait rapat dengan teknologi, bioteknologi, perkilangan dan perkhidmatan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Merealisasikan Konsep Pertanian Baru, E-Siswa, Edisi 25 Mac 2009.)