Bahagian A(i) - Ringkasan
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang tujuan pemberian kerja rumah. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kerja rumah ialah tugasan yang perlu disiapkan di luar jadual waktu tetapi tidak semestinya dibuat di rumah. Kerja rumah mempunyai unsur pembelajaran kendiri. Oleh itu, kerja rumah diberikan supaya unsur ini dapat dipupuk dalam kalangan diri murid. Kerja rumah juga menjadi aktiviti pengukuhan bagi pembelajaran di dalam kelas. Justeru, kerja rumah perlu disiapkan oleh murid secara individu atau kumpulan. Namun, perkara ini telah menimbulkan rungutan kerana kerja rumah dikatakan telah 'merompak' masa anak-anak untuk berkembang dari segi jasmani. Selain itu, kerja rumah dikatakan menyusahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa menghabiskan banyak masa untuk membimbing anak-anak membuat kerja rumah. Namun, perlu diingat bahawa kerja rumah sememangnya diberikan bagi membuka peluang kepada ibu bapa mahupun ahli keluarga yang lain bersama dengan anak-anak semasa mereka belajar. Kerja rumah juga dapat memberikan gambaran kepada ibu bapa tentang perkara-perkara yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah. Menurut kajian, antara rahsia kejayaan seseorang murid adalah apabila sentiasa ada tugasan yang dilakukannya tentang sesuatu yang dipelajari di sekolah. Dengan itu, kerja rumah merupakan satu daripada usaha yang boleh menyebabkan murid berjaya kerana mereka sentiasa belajar dan membuat latihan. Di samping itu, guru memberikan latihan tambahan sebagai kerja rumah supaya tumpuan dapat diberikan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan multimedia seperti televisyen, komputer, Internet dan sumber-sumber maklumat lain seperti buku, majalah dan akhbar pula menjadi sumber sokongan yang penting bagi murid membuat kerja rumah. Oleh itu, kerja rumah yang diberikan, diharapkan dapat membantu murid meneroka perkara-perkara baharu daripada sumber-sumber maklumat yang tidak diperoleh di bilik darjah. Pemberian kerja rumah dibuat dengan mengambil kira faktor masa senggang murid. Kerja rumah diberikan agar mereka dapat mengisi masa senggang mereka dengan aktiviti yang berfaedah yang menjurus ke arah kecemerlangan mereka dalam bidang pelajaran .Oleh hal yang demikian, walaupun terdapat pelbagai pandangan tentang kerja rumah, namun hakikatnya kerja rumah banyak memberi kesan positif kepada murid-murid.
(Dipetik dan diubah suai daripada'Pengurusan kerja Rumah yang Elektif’oleh Dr. Hj. Mohammed Sani bin Hj. Ibrahim, Pendidik, Bil 14,2005)
jawapannya mna
ReplyDeleteEntah mna jawapan dia
ReplyDeleteKesimpulan
ReplyDeleteterima kasih cikgu..saya minta halal ambil bahan cikgu untuk saya panjangkan kepada anak2 murid saya.
ReplyDelete