Wednesday, 14 December 2011

LATIHAN 5

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang  kepentingan sukan dalam meningkatkan kecemerlangan murid. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga seperti berenang, permainan bola sepak, tenis, lumba lari dan sebagainya. Aktiviti ini dilakukan sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk menyihatkan badan atau riadah. Sukan dapat meningkatkan disiplin murid. Individu yang mempunyai disiplin yang tinggi, mampu mengawal diri sendiri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Disiplin juga membentuk seseorang agar berkelakuan baik. Murid akan mematuhi arahan dan akur pada nasihat ibu bapa seperti menghormati orang yang lebih tua, bersopan santun dan taat pada agama. Seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya. Dia akan menentukan masa untuk bersukan dan masa untuk belajar. Biasanya, murid-murid inilah yang akan memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Majlis Sukan Negara (MSN) sedar bahawa sukan mampu melahirkan insan yang sihat dari segi fizikal dan mental. Oleh sebab itu, MSN memberikan sokongan kepada kegiatan sukan dan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang dijalankan di sekolah. Tidak cukup dengan itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membina lebih banyak sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil. Bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan, seseorang harus berfikiran positif dan mempunyai keyakinan diri. Di samping itu, aktif bersukan membolehkan seseorang itu mempunyai akal yang sempurna untuk berfikir .  Hal ini demikian kerana mereka akan berfikiran rasional untuk membuat keputusan dengan baik. Sukan juga menerapkan semangat berpasukan yang tinggi. Mereka sering berganding bahu untuk membantu pasukan menempa kejayaan. Murid yang aktif bersukan juga akan mempunyai semangat juang yang kental. Mereka juga berupaya untuk menerima kegagalan secara positif apabila kecundang dalam sesuatu pertandingan.

(Dipetik dan diubah suai daripada 'Pentingnya Sukan dalam Meningkatkan Kecemerlangan Remaja dan Pelajar',Aminuddin Mansor, Fokus, Januari 2004).

No comments:

Post a Comment