Wednesday, 14 December 2011

LATIHAN 8

Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)




Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang peranan remaja dalam menghayati kemerdekaan. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Setiap tahun, sambutan kemerdekaan diadakan meriah supaya warganegara Malaysia mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dan meningkatkan rasa cinta akan negara. Remaja negara ini seharusnya bersyukur kerana lahir dalam suasana pascamerdeka yang serba aman makmur. Namun, di sebalik kemakmuran dan kejayaan yang dicapai, para remaja harus menyedari kepentingan menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar agar kemerdekaan negara dijaga dan dihormati. Dalam usaha menyambut kemerdekaan, remaja juga seharusnya merenung dan menghayati hakikat kemerdekaan itu sendiri.

Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud merdeka daripada penjajahan kuasa asing malahan bermakna bebas daripada penjajahan pemikiran. Era globalisasi kini banyak memberikan pendedahan kepada golongan remaja terhadap kepelbagaian budaya dan idealisme. Pengaruh media massa yang amat kuat menyebabkan sesetengah daripada golongan remaja memandang tinggi terhadap segala yang datang dari Barat itu. Sungguhpun dunia Barat amat maju dalam pelbagai bidang namun kemodenan mereka ada kepincangannya.

Kemodenan dan kesenangan yang dimiliki tiada maknanya andai anak- anak semakin tidak menghormati ibu bapa, pelajar tidak menghormati guru, atau ajaran agama ditinggalkan. Hal ini merupakan satu pengajaran buat kita dalam usaha kita untuk mencapai kemajuan. Kita masih boleh maju, namun remaja perlu mempunyai acuan tersendiri untuk maju tanpa mengabaikan nilai-nilai murni yang kita miliki. Seandainya kita masih berpegang dengan pendirian bahawa segala yang datang dari Barat itu adalah baik, bermakna kita belum merdeka sepenuhnya. Dalam erti kata lain, Barat tidak salah, tetapi kita harus berwaspada terhadap proses pembaratan.

Dalam menikmati kebebasan, para remaja seharusnya tidak lalai dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan. Remaja seharusnya sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk memajukan diri dan negara. Apabila negara membangun dalam keseimbangan, negara akan lebih disegani dan dihormati oleh negara lain. Sekiranya ini tidak menjadi asas pegangan, maka negara akan jauh ketinggalan daripada aspek pembangunan fizikal dan rohaniah.

Sememangnya setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan itu menyediakan peluang untuk remaja bergembira atau bersuka ria. Namun remaja harus bijak memilih agar tidak terjebak dengan acara-acara yang mungkin membawa remaja ke arah mendekati perkara negatif. Apa yang menyedihkan, kita sering mendengar kisah remaja yang terlibat dengan gejala negatif pada malam sambutan kemerdekaan, seperti meminum arak, penyalahgunaan dadah, kegiatan lumba haram dan pergaulan bebas.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Menghormati Kemerdekaan Negara”, oleh Mohd Farid Md. Alias, dalam  Utusan Malaysia, 23 Ogos 2007.)

1 comment: