Wednesday, 14 December 2011

LATIHAN 7

Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya  menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
           
Dewasa ini, bidang pertanian dilihat sebagai satu cabang kegiatan ekonomi yang penting serta berupaya menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin banyak usahawan tani di negara ini tampil menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan moto ’Pertanian Adalah Perniagaan’. Bidang pertanian juga dilihat sebagai satu industri berskala besar yang mampu menjamin pulangan dan keuntungan yang tinggi, serta bersaing di pasaran global.
Teras dasar sektor pertanian secara keseluruhan akan ditumpukan kepada usaha orientasi semula sektor ini ke arah pengkomersialan yang lebih meluas dan melahirkan petani berpendapatan tinggi, serta menggalakkan pelaburan sektor swasta. Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian melalui pembangunan tanah baharu, tanam semula penyatuan dan pemulihan tanah, serta penggunaan lebih meluas klon dan baka berhasil tinggi. Penjenteraan ladang dan amalan agronomi juga antara usaha yang baik ke arah peningkatan produktiviti. Sektor kecil komoditi makanan dijangka berkembang pada kadar purata 7.6 peratus setahun melalui penambahbaikan kecekapan dan produktiviti serta penambahan keluasan. Pengeluaran padi akan ditingkatkan untuk mencapai sasaran tahap sara diri 90 peratus manakala pengeluaran buah-buahan akan dilaksanakan secara berskala besar di zon pengeluaran buah-buahan menggunakan pendekatan berkelompok dan ditumpukan kepada sembilan jenis buah-buahan yang berpotensi untuk dieksport.
Pengeluaran sayur-sayuran pula akan ditumpukan kepada jenis bernilai tinggi untuk penggunaan tempatan dan pasaran eksport terpilih. Pogram Buku Hijau untuk menggalakkan pengeluaran makanan oleh masyarakat setempat akan diaktifkan semula. Pengeluaran akuakultur dan aktiviti penangkapan ikan laut dalam. Selain itu, industri ternakan akan ditumpukan kepada pelbagai aktiviti di sepanjang rantaian termasuk pengeluaran baka dan makanan haiwan. Keluaran ternakan terutamanya daging, ayam, itik dan telur akan terus ditingkatkan melalui penggunaan sistem pengeluaran moden untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.
 Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menegaskan bahawa sektor pertanian negara kini sudah melangkah ke era baru menggunakan kaedah moden dengan menekankan kaedah penggunaan bioteknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Hal ini demikian kerana usaha murni ini merupakan komponen utama dalam RMK-9 dan sektor pertanian diyakini bakal menjadi enjin pembangunan ketiga negara selepas sektor perkilangan dan perkhidmatan. Tegasnya, pertanian baharu pacuan ICT ini turut berkait rapat dengan teknologi, bioteknologi, perkilangan dan perkhidmatan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Merealisasikan Konsep Pertanian Baru, E-Siswa, Edisi 25 Mac 2009.)  


4 comments: