Wednesday, 14 December 2011

LATIHAN 1

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah berjimat cermat. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataanAnda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kenaikan harga barang kini merupakan ekoran kenaikan harga minyak. Oleh itu, setiap orang terasa bebannya termasuk golongan yang berpendapatan sederhana. Walaupun kita amat berharap agar kerajaan mengawal harga barang bagi mengurangkan beban, kita perlu berusaha untuk mengurangkan kesan kenaikan harga. Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Kalau dahulu kita telah mengamalkan sikap jimat cermat, kini kita perlu lebih berkira-kira lagi. Jika dahulu kita hanya berjimat dari segi penggunaan petrol, kini kita mungkin perlu mengurangkan amalan makan di luar, membeli barangan mewah dan sebagainya. Perancangan kewangan juga penting. Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Dengan kata lain, pendapatan perlu diagihkan kepada simpanan dan perbelanjaan. Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan perlu dibuat secara bersama-sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbang idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Hasil perbincangan ini pula, perlu dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan. Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Untuk itu, kita perlu berilmu dan ilmu boleh didapati melalui pembacaan dan pembelajaran. Buku-buku panduan pengurusan kewangan yang banyak terdapat di pasaran boleh dijadikan rujukan sekiranya kita serius hendak menguruskan kewangan keluarga dengan bijak. Di tempat kerja pula, warga kerja perlu menjimatkan penggunaan elektrik. Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat seperti mesin fotostat, alat tulis dan kertas. Pekerja perlu memahami sebab-sebab Iangkah penjimatan diambil dan bekerjasama dalam melaksanakannya. Arahan demi arahan tanpa penjelasan yang munasabah, tidak akan meninggalkan kesan. Para pekerja juga sukar untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak pengurusan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam melaksanakan Iangkah penjimatan ini.

    (Dipetik dan diubah suai daripada 'Masa Berkira Ketika Berbelanja',  Utusan Malaysia, 11 Ogos)

No comments:

Post a Comment