Monday, 19 December 2011

SOALAN 5

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan kokurikulum kepada para pelajar. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk dan membentuk keperibadian unggul seseorang pelajar. Misalnya, melalui kelab dan persatuan pelajar-pelajar dilatih untuk memegang beberapa jawatan penting dan bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang dirancang.
Melalui aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar juga dilatih memahami prinsip-prinsip asas alam pekerjaan yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan dewasa nanti. Pendedahan seumpama ini melalui aktiviti kokurikulum membolehkan mereka bertindak dan membuat keputusan yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang berwawasan.
Melalui aktiviti badan beruniform pelajar banyak belajar tentang perkara yang menyentuh soal disiplin seperti kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa mementingkan diri sendiri adalah antara nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Penglibatan yang aktif dalam kokurikulum menyediakan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang amat berbeza dengan corank pembelajaran di sekolah. Dalam hal ini, pelajar yang tidak aktif dalam kokurikulum berkemungkinan kurang kemahiran berkomunikasi dan lemah dalam membuat persembahan, sedangkan kemahiran tersebut amat  diperlukan dalam sistem pembelajaran institusi pengajian tinggi.
Seseorang pelajar yang kurang aktif dalam kokurikulum cenderung menjadi pelajar yang pendiam, tidak suka bergaul serta hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, apabila mereka berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti mereka akan terperangkap kerana pada masa itu jumlah pangkat A yang mereka perolehi di sekolah dahulu tidak lagi menjadi ukuran, tetapi pelajar yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum semasa di sekolah akan lebih mudah belajar kerana mereka sudah belajar menyiapkan sesuatu tugasan, memahami pentingnya perpaduan, mudah bertoleransi dan ada kemahiran berfikir dan berhujah.
Justeru, pelajar-pelajar harus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kerana pelajar yang cemerlang ialah mereka yang seimbang dari segi akedemik, mudah  berkomunikasi dan mudah bergaul.

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA




SOALAN 4

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca gejala sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Gejala sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari ini. Malah, gejala ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa.

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mereka, khususnya yang bekerja di kawasan bandar. Ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif akibat bergaul dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang.

Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, Contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar dapat melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA 




SOALAN 3

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.

Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA 




Wednesday, 14 December 2011

SOALAN 2

 Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah untuk menangani isu pencemaran sungai. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 Sekarang sudah tiba masanya kita mencari pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh dalam menangani isu pencemaran sungai. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan undang-undang. Proses pendakwaan bukan suatu yang mudah. Pendakwaan memakan masa dan memerlukan kepakaran teknikal di pihak pendakwa. Ada kalanya penjenayah alam sekitar lebih bijak mencari kelemahan undang-undang dan akhirnya proses perundangan boleh memihak kepada mereka.

Kita perlu mengubah minda setiap rakyat agar lebih peka dan menghargai alam sekitar. Selain penguatkuasaan undang-undang, rakyat perlu terus dididik agar cintakan alam sekitar. Undang-undang mungkin berkesan dalam kes-kes tertentu, tetapi kesedaran yang meluas dalam kalangan rakyat akan memberikan kesan jangka panjang yang lebih mantap.

Pada masa ini memang terdapat program kesedaran alam sekitar terutamanya menerusi media elektronik dan media cetak. Namun demikian, mesejnya seakan-akan tidak sampai kepada sebahagian besar rakyat. Banyak orang tidak membaca surat khabar dan mendengar berita atau hanya menonton program televisyen dan membaca ruangan akhbar yang bercorak hiburan sahaja. Oleh itu, ruangan kesedaran alam sekitar di media utama perlu diperluas dengan penyampaian yang lebih menarik dan disesuaikan dengan setiap kelompok masyarakat.

Di peringkat sekolah, pendidikan alam sekitar sebenarnya telah lama diterapkan dalam beberapa mata pelajaran melalui pendekatan Alam Sekitar Merentas Kurikulum. Sekolah-sekolah juga digalakkan menubuhkan Kelab Pencinta Alam. Guru-guru penasihat pula dilibatkan dalam pelbagai aktiviti di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Sekolah-sekolah juga boleh mengadakan program sungai angkat dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar. Program kesedaran alam sekitar perlu diadakan secara berterusan dan seharusnya melibatkan semua pelajar.

Kejayaan program ini sangat bergantung kepada komitmen dan kreativiti guruguru. Mereka perlu peka akan isu semasa tentang alam sekitar untuk menarik minat dan tumpuan pelajar. Selain itu, proses penghayatan hubungan manusia dan alam sekitar akan lebih berkesan jika pelajar-pelajar dibawa melihat sendiri realiti sebenar di luar bilik darjah. Namun ini memerlukan masa pengajaran yang lebih lama di samping pelaksanaannya yang agak mencabar. Selain pendekatan Alam Sekitar Merentas Kurikulum, program kesedaran alam sekitar turut boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Atasi Perosak Alam Sekitar”, oleh Zulkifli Yusop, dalam Utusan Malaysia, 2 Mac 2007.)

CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA JAWAPAN





SOALAN 1

SOALAN 

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan makan buah-buahan tempatan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia. Jambu batu merupakan buah yang paling berkhasiat bagi membekalkan vitamin kepada tubuh manusia. Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu.

Selain dimakan begitu sahaja buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara penyediaannya perlu asli, iaitu tidak ada gula di dalamnya. Menurut Dr. Rokiah, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan. Beliau menyarankan agar buah jambu batu dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan. Katanya, bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol dalam darah, iaitu 18.8 peratus dalam masa seminggu.

Selain jambu batu, buah betik juga boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak 19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu. Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram sehari. Betik juga terkenal sebagai bahan pelawas kerana mengandungi Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C berkesan merawat hemoroid atau bawasir dan sembelit. Nanas turut tergolong dalam kumpulan buah yang mengandungi vitamin yang tinggi dan boleh diambil dalam jumlah yang sama, iaitu 400 gram. Menurut Dr. Rokiah lagi, asid yang ada dalam nanas membantu tubuh dan tidak memudaratkan mereka yang mengambilnya. Dalam nanas ada tambahan vitamin C dan nanas turut berfungsi sebagai antioksida. Malahan nanas juga berupaya menurunkan paras kolesterol sebanyak 8.38 peratus dalam masa tiga minggu sahaja.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Khasiat Buah-buahan Bantu Kurangkan Kolestrol” oleh Aizawati Ahmad dalam Utusan Malaysia, 3 November 2002)


CONTOH JAWAPAN ISI UTAMA






LATIHAN 8

Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)




Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang peranan remaja dalam menghayati kemerdekaan. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Setiap tahun, sambutan kemerdekaan diadakan meriah supaya warganegara Malaysia mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dan meningkatkan rasa cinta akan negara. Remaja negara ini seharusnya bersyukur kerana lahir dalam suasana pascamerdeka yang serba aman makmur. Namun, di sebalik kemakmuran dan kejayaan yang dicapai, para remaja harus menyedari kepentingan menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar agar kemerdekaan negara dijaga dan dihormati. Dalam usaha menyambut kemerdekaan, remaja juga seharusnya merenung dan menghayati hakikat kemerdekaan itu sendiri.

Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud merdeka daripada penjajahan kuasa asing malahan bermakna bebas daripada penjajahan pemikiran. Era globalisasi kini banyak memberikan pendedahan kepada golongan remaja terhadap kepelbagaian budaya dan idealisme. Pengaruh media massa yang amat kuat menyebabkan sesetengah daripada golongan remaja memandang tinggi terhadap segala yang datang dari Barat itu. Sungguhpun dunia Barat amat maju dalam pelbagai bidang namun kemodenan mereka ada kepincangannya.

Kemodenan dan kesenangan yang dimiliki tiada maknanya andai anak- anak semakin tidak menghormati ibu bapa, pelajar tidak menghormati guru, atau ajaran agama ditinggalkan. Hal ini merupakan satu pengajaran buat kita dalam usaha kita untuk mencapai kemajuan. Kita masih boleh maju, namun remaja perlu mempunyai acuan tersendiri untuk maju tanpa mengabaikan nilai-nilai murni yang kita miliki. Seandainya kita masih berpegang dengan pendirian bahawa segala yang datang dari Barat itu adalah baik, bermakna kita belum merdeka sepenuhnya. Dalam erti kata lain, Barat tidak salah, tetapi kita harus berwaspada terhadap proses pembaratan.

Dalam menikmati kebebasan, para remaja seharusnya tidak lalai dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan. Remaja seharusnya sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk memajukan diri dan negara. Apabila negara membangun dalam keseimbangan, negara akan lebih disegani dan dihormati oleh negara lain. Sekiranya ini tidak menjadi asas pegangan, maka negara akan jauh ketinggalan daripada aspek pembangunan fizikal dan rohaniah.

Sememangnya setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan itu menyediakan peluang untuk remaja bergembira atau bersuka ria. Namun remaja harus bijak memilih agar tidak terjebak dengan acara-acara yang mungkin membawa remaja ke arah mendekati perkara negatif. Apa yang menyedihkan, kita sering mendengar kisah remaja yang terlibat dengan gejala negatif pada malam sambutan kemerdekaan, seperti meminum arak, penyalahgunaan dadah, kegiatan lumba haram dan pergaulan bebas.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Menghormati Kemerdekaan Negara”, oleh Mohd Farid Md. Alias, dalam  Utusan Malaysia, 23 Ogos 2007.)

LATIHAN 7

Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya  menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
           
Dewasa ini, bidang pertanian dilihat sebagai satu cabang kegiatan ekonomi yang penting serta berupaya menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin banyak usahawan tani di negara ini tampil menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan moto ’Pertanian Adalah Perniagaan’. Bidang pertanian juga dilihat sebagai satu industri berskala besar yang mampu menjamin pulangan dan keuntungan yang tinggi, serta bersaing di pasaran global.
Teras dasar sektor pertanian secara keseluruhan akan ditumpukan kepada usaha orientasi semula sektor ini ke arah pengkomersialan yang lebih meluas dan melahirkan petani berpendapatan tinggi, serta menggalakkan pelaburan sektor swasta. Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian melalui pembangunan tanah baharu, tanam semula penyatuan dan pemulihan tanah, serta penggunaan lebih meluas klon dan baka berhasil tinggi. Penjenteraan ladang dan amalan agronomi juga antara usaha yang baik ke arah peningkatan produktiviti. Sektor kecil komoditi makanan dijangka berkembang pada kadar purata 7.6 peratus setahun melalui penambahbaikan kecekapan dan produktiviti serta penambahan keluasan. Pengeluaran padi akan ditingkatkan untuk mencapai sasaran tahap sara diri 90 peratus manakala pengeluaran buah-buahan akan dilaksanakan secara berskala besar di zon pengeluaran buah-buahan menggunakan pendekatan berkelompok dan ditumpukan kepada sembilan jenis buah-buahan yang berpotensi untuk dieksport.
Pengeluaran sayur-sayuran pula akan ditumpukan kepada jenis bernilai tinggi untuk penggunaan tempatan dan pasaran eksport terpilih. Pogram Buku Hijau untuk menggalakkan pengeluaran makanan oleh masyarakat setempat akan diaktifkan semula. Pengeluaran akuakultur dan aktiviti penangkapan ikan laut dalam. Selain itu, industri ternakan akan ditumpukan kepada pelbagai aktiviti di sepanjang rantaian termasuk pengeluaran baka dan makanan haiwan. Keluaran ternakan terutamanya daging, ayam, itik dan telur akan terus ditingkatkan melalui penggunaan sistem pengeluaran moden untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.
 Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menegaskan bahawa sektor pertanian negara kini sudah melangkah ke era baru menggunakan kaedah moden dengan menekankan kaedah penggunaan bioteknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Hal ini demikian kerana usaha murni ini merupakan komponen utama dalam RMK-9 dan sektor pertanian diyakini bakal menjadi enjin pembangunan ketiga negara selepas sektor perkilangan dan perkhidmatan. Tegasnya, pertanian baharu pacuan ICT ini turut berkait rapat dengan teknologi, bioteknologi, perkilangan dan perkhidmatan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Merealisasikan Konsep Pertanian Baru, E-Siswa, Edisi 25 Mac 2009.)  


LATIHAN 6


Bahagian A (i)- Ringkasan
(20 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab golongan remaja terlibat dengan gejala buli. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya  menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
           
Golongan remaja merupakan aset negara yang amat berharga. Golongan ini bakal menjadi pewaris kepimpinan negara dan seterusnya meletakkan negara Malaysia ke mercu kecemerlangan. Persoalannya, mampukah para remaja memikul tanggungjawab tersebut. Lihat sahaja jenayah yang mereka lakukan. Saban hari ada sahaja kes - kes terpampang di dada- dada  akhbar.
Kegiatan salah laku  remaja bukan sahaja berlaku di luar waktu sekolah, bahkan telah menular ke dalam sekolah. Terdapat dalam kalangan mereka yang  tidak boleh dikawal lagi oleh guru-guru dan ibu bapa sehingga mengakibatkan berlakunya keciciran dalam pelajaran.
Terdapat banyak faktor mengapa golongan remaja terlibat dengan gejala yang tidak bermoral ini. Sebagaimana diketahui umum, pengaruh media massa kini semakin sukar untuk dikawal pengedarannya. Banyak agenda yang berbentuk keganasan ditonjolkan sehingga mempengaruhi para remaja. Begitu juga pengaruh perbandaran yang semakin cepat menular ke kawasan luar bandar. Kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang semakin baik memudahkan penularan budaya yang tidak sihat. Akibatnya golongan  remaja  di kawasan luar bandar akan mudah terpengaruh.
Sikap ibu bapa yang hanya mementingkan kebendaan turut menyumbang kepada salah laku remaja. Ibu bapa tidak mempunyai masa yang cukup serta selalu balik lewat menyebabkan mereka gagal mendidik atau memberi kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak mereka. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang memberi kebebasan kepada anak – anak. Kesempatan ini telah digunakan oleh anak – anak mereka melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat beli – belah, dan pusat hiburan. Remaja yang suka melakukan aktiviti ini akan cuba mempengaruhi rakan – rakan yang lain. Akibat pengaruh rakan sebaya, akan menjurus kepada pembentukan kumpulan gangster dan kumpulan samseng dalam kalangan remaja. Remaja tersebut akhirnya melakukan jenayah seperti peras ugut dan penagihan dadah.
Sikap sesetengah guru yang kurang memberi perhatian dalam menangani kes disiplin di sekolah turut mendorong kepada berlakunya gejala buli. Kurangnya tindakan disiplin, pelajar bebas dan sanggup melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati mereka.

                                (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Pendidik Bil 18--2005) 

LATIHAN 5

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang  kepentingan sukan dalam meningkatkan kecemerlangan murid. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga seperti berenang, permainan bola sepak, tenis, lumba lari dan sebagainya. Aktiviti ini dilakukan sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk menyihatkan badan atau riadah. Sukan dapat meningkatkan disiplin murid. Individu yang mempunyai disiplin yang tinggi, mampu mengawal diri sendiri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Disiplin juga membentuk seseorang agar berkelakuan baik. Murid akan mematuhi arahan dan akur pada nasihat ibu bapa seperti menghormati orang yang lebih tua, bersopan santun dan taat pada agama. Seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya. Dia akan menentukan masa untuk bersukan dan masa untuk belajar. Biasanya, murid-murid inilah yang akan memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Majlis Sukan Negara (MSN) sedar bahawa sukan mampu melahirkan insan yang sihat dari segi fizikal dan mental. Oleh sebab itu, MSN memberikan sokongan kepada kegiatan sukan dan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang dijalankan di sekolah. Tidak cukup dengan itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membina lebih banyak sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil. Bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan, seseorang harus berfikiran positif dan mempunyai keyakinan diri. Di samping itu, aktif bersukan membolehkan seseorang itu mempunyai akal yang sempurna untuk berfikir .  Hal ini demikian kerana mereka akan berfikiran rasional untuk membuat keputusan dengan baik. Sukan juga menerapkan semangat berpasukan yang tinggi. Mereka sering berganding bahu untuk membantu pasukan menempa kejayaan. Murid yang aktif bersukan juga akan mempunyai semangat juang yang kental. Mereka juga berupaya untuk menerima kegagalan secara positif apabila kecundang dalam sesuatu pertandingan.

(Dipetik dan diubah suai daripada 'Pentingnya Sukan dalam Meningkatkan Kecemerlangan Remaja dan Pelajar',Aminuddin Mansor, Fokus, Januari 2004).

LATIHAN 4

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang  tujuan pemberian kerja rumah.  Panjangnya ringkasan anda hendaklah  tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kerja rumah ialah tugasan yang perlu disiapkan di luar jadual waktu tetapi tidak semestinya dibuat di rumah. Kerja rumah mempunyai unsur pembelajaran kendiri. Oleh itu, kerja rumah diberikan supaya unsur ini dapat dipupuk dalam kalangan diri murid. Kerja rumah juga menjadi aktiviti pengukuhan bagi pembelajaran di dalam kelas. Justeru, kerja rumah perlu disiapkan oleh murid secara individu atau kumpulan. Namun, perkara ini telah menimbulkan rungutan kerana kerja rumah dikatakan telah 'merompak' masa anak-anak untuk berkembang dari segi jasmani. Selain itu, kerja rumah dikatakan menyusahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa menghabiskan banyak masa untuk membimbing anak-anak membuat kerja rumah. Namun, perlu diingat bahawa kerja rumah sememangnya diberikan bagi membuka peluang kepada ibu bapa mahupun ahli keluarga yang lain bersama dengan anak-anak semasa mereka belajar. Kerja rumah juga dapat memberikan gambaran kepada ibu bapa tentang perkara-perkara yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah. Menurut kajian, antara rahsia kejayaan seseorang murid adalah apabila sentiasa ada tugasan yang dilakukannya tentang sesuatu yang dipelajari di sekolah. Dengan itu, kerja rumah merupakan satu daripada usaha yang boleh menyebabkan murid berjaya kerana mereka sentiasa belajar dan membuat latihan. Di samping itu, guru memberikan latihan tambahan sebagai kerja rumah supaya tumpuan dapat diberikan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan multimedia seperti televisyen, komputer, Internet dan sumber-sumber maklumat lain seperti buku, majalah dan akhbar pula menjadi sumber sokongan yang penting bagi murid membuat kerja rumah. Oleh itu, kerja rumah yang diberikan, diharapkan dapat membantu murid meneroka perkara-perkara baharu daripada sumber-sumber maklumat yang tidak diperoleh di bilik darjah.  Pemberian kerja rumah dibuat dengan mengambil kira faktor  masa senggang  murid. Kerja rumah diberikan agar mereka dapat mengisi masa senggang mereka dengan aktiviti yang berfaedah yang menjurus ke arah kecemerlangan mereka dalam bidang pelajaran .Oleh hal yang demikian, walaupun terdapat pelbagai pandangan tentang kerja rumah, namun hakikatnya kerja rumah banyak memberi kesan positif kepada murid-murid.

(Dipetik dan diubah suai daripada'Pengurusan kerja Rumah yang Elektif’oleh Dr. Hj. Mohammed Sani bin Hj. Ibrahim, Pendidik, Bil 14,2005)

LATIHAN 3

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang  kepentingan pengambilan makanan berkhasiat. Panjangnya ringkasan anda hendaklah  tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Makanan yang berkhasiat dan seimbang penting kepada semua orang. Hal ini demikian kerana kita memerlukan tenaga untuk aktiviti fizikal. Kita juga akan lebih cergas menjalani aktiviti harian. Amalan pemakanan dan kesihatan mempunyai kaitan yang rapat. Kesihatan tubuh badan bukan sahaja dipengaruhi oleh makanan yang seimbang dan berkhasiat semata-mata malah corak dan amalan pemakanan sehari-hari turut memberikan kesan yang besar. Makan dalam keadaan selesa dan tenang merupakan tabiat yang baik. Selain itu, elakkan makan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan jangan makan sebelum masuk tidur. Oleh itu, kita perlu makan pada masa yang sesuai. Kegagalan berbuat demikian akan mempengaruhi kesihatan seseorang. Kebanyakan kita beranggapan bahawa aspek pengambilan makanan merupakan suatu perkara yang tidak penting. Sebenarnya, kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur dan kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat. Kegemukan atau obesiti merupakan kesan daripada sikap tidak mengawal makan. Makan setelah kita berasa lapar seharusnya menjadi amalan. Ibu bapa harus menanam sikap tersebut ketika anak-anak masih kecil lagi. Kita perlu mengambil sayur-sayuran hijau dan buah-buahan, untuk memastikan bahawa kita mengamalkan diet yang seimbang. Ada dalam kalangan kita pula yang menggemari makanan yang telah diproses seperti mi segera dan makanan dalam tin. Makanan seperti ini kurang zatnya kerana telah melalui tempoh masa yang lama dan juga mengandungi bahan kimia. Oleh itu, pengambilan makanan yang segar amat penting untuk memastikan makanan tersebut membekalkan zat yang diperlukan oleh tubuh badan. Kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya. Kegagalan mengambil berat tentang tabiat makan yang tidak betul akan mengundang padah. Namun inilah yang menjadi masalah kebanyakan masyarakat kita. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa makanan yang seimbang dapat mempengaruhi kehidupan kita.

(Dipetik dan diubah suai daripada Makanan Seimbang & Berkhasiat, Faishah Ramlee, Fokus Januari 2006).

LATIHAN 2

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]


Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang  perubatan moden.  Panjangnya ringkasan anda hendaklah  tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pendapat bahawa perubatan moden merupakan penawar terbaik untuk setiap jenis penyakit adalah tidak tepat. Hal ini terbukti  apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa 80 peratus penduduk dunia bergantung pada perubatan tradisional. Kerana miskin mereka tidak berupaya untuk membeli makanan, apatah lagi bagi mendapatkan rawatan moden. Kelakangan ini, minat masyarakat dunia terhadap perubatan tradisional berasaskan herba semakin bertambah malah herba dianggap sebagai pelengkap kepada perubatan moden. Para penyelidik mengakui bahawa kesedaran tentang kesan sampingan ubat-ubatan moden semakin meningkat. Rakyat di negara kita pula semakin banyak yang menghidap penyakit kronik seperti barah dan AIDS sedangkan perubatan moden masih gagal menemukan penawarnya. Keadaan seperti ini, ditambah dengan kos perubatan yang semakin tinggi menyebabkan pesakit beralih kepada perubatan tradisional berasaskan herba. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba ini sewajarnya dikomersialkan dan dijual pada harga yang rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna, Walau bagaimanapun, kita masih memerlukan perubatan moden kerana bukan semua penyakit boleh dicegah atau disembuhkan melalui perubatan tradisional. Perubatan tradisional hanyalah untuk  mengisi kekosongan  yang ada dalam perubatan moden. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba dalam perubatan tradisional ini perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains dan teknologi di kebanyakan negara di  dunia. Di Malaysia pula, perubatan tradisional berasaskan herba diamalkan sejak zaman-berzaman seperti dalam rawatan resdung, rawatan kecantikan dan rawatan selepas bersalin. Satu fakta yang jelas ialah bukan semua ubat moden yang diambil oleh pesakit akan masuk ke dalam sistem tubuh. Oleh sebab itu, walaupun dua orang pesakit menghidapi penyakit yang sama, ubat yang serupa tidak akan memberikan kesan yang sama kepada mereka. Selain itu ubat-ubatan moden hanya merawat penyakit itu sahaja, sedangkan ubat-ubatan tradisional mampu mengesan dan merawat punca penyakit tersebut. Keadaan ini menyebabkan pesakit yang mengambil ubat-ubatan moden perlu bergantung pada ubat-ubatan tersebut sehingga akhir usia.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Herba Pelengkap kepada Perubatan Moden', Berita Marian,, 16 Apil 2006).

LATIHAN 1

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah berjimat cermat. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataanAnda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kenaikan harga barang kini merupakan ekoran kenaikan harga minyak. Oleh itu, setiap orang terasa bebannya termasuk golongan yang berpendapatan sederhana. Walaupun kita amat berharap agar kerajaan mengawal harga barang bagi mengurangkan beban, kita perlu berusaha untuk mengurangkan kesan kenaikan harga. Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Kalau dahulu kita telah mengamalkan sikap jimat cermat, kini kita perlu lebih berkira-kira lagi. Jika dahulu kita hanya berjimat dari segi penggunaan petrol, kini kita mungkin perlu mengurangkan amalan makan di luar, membeli barangan mewah dan sebagainya. Perancangan kewangan juga penting. Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Dengan kata lain, pendapatan perlu diagihkan kepada simpanan dan perbelanjaan. Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan perlu dibuat secara bersama-sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbang idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Hasil perbincangan ini pula, perlu dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan. Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Untuk itu, kita perlu berilmu dan ilmu boleh didapati melalui pembacaan dan pembelajaran. Buku-buku panduan pengurusan kewangan yang banyak terdapat di pasaran boleh dijadikan rujukan sekiranya kita serius hendak menguruskan kewangan keluarga dengan bijak. Di tempat kerja pula, warga kerja perlu menjimatkan penggunaan elektrik. Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat seperti mesin fotostat, alat tulis dan kertas. Pekerja perlu memahami sebab-sebab Iangkah penjimatan diambil dan bekerjasama dalam melaksanakannya. Arahan demi arahan tanpa penjelasan yang munasabah, tidak akan meninggalkan kesan. Para pekerja juga sukar untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak pengurusan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam melaksanakan Iangkah penjimatan ini.

    (Dipetik dan diubah suai daripada 'Masa Berkira Ketika Berbelanja',  Utusan Malaysia, 11 Ogos)

FORMAT RINGKASAN KARANGAN

Konsep Penulisan Ringkasan Karangan
A.        Syarat-Syarat Ringkasan Yang Cemerlang
1.      Ringkasan yang cemerlang harus memenuhi syarat-syarat yang berikut:

a)      

2.      Tanpa memenuhi syarat-syarat tersebut, markah untuk ringkasan akan terjejas.

B.        Aspek Pemarkahan
1)      Calon perlu berusaha untuk memperoleh markah sebanyak yang mungkin bagi aspek ringkasan. Hal ini demikian kerana soalan tentang aspek ringkasan ini diberikan markah yang agak besar, iaitu 20 markah.

2)      Pada umumnya, markah penuh bagi ringkasan dibahagikan kepada:


3)      Berdasarkan pembahagian markah ini, dapatlah dikatakan bahawa setiap ringkasan mestilah mempunyai lima isi penting.

4)      Calon haruslah mematuhi had jumlah perkataan yang dibenarkan, iaitu tidak melebihi 80 patah perkataan.



5)      Hal ini demikian kerana, ringkasan calon akan diperiksa atau dinilai setakat jumlah kata yang telah ditetapkan. Oleh itu, ayat yang selebihnya tidak akan diperikasa dan dinilai, walaupun mengandungi isi penting.

6)      Dari aspek bahasa pula, perkara yang diberikan perhatian untuk tujuan pemarkahan adalah seperti yang berikut:




7)      Jangan sesekali menyalin kata demi kata yang terdapat dalam petikan asal bulat-bulat untuk membina ringkasan.
8)       
C.        Strategi Menulis Ringkasan
Menganalisis Soalan
1)      Baca arahan soalan dengan teliti untuk menentukan kehendak soalan, iaitu fokus soalan dan mengetahui panjang ringkasan yang perlu ditulis.

2)      Fahami penanda tugasan, iaitu kata kunci dalam arahan soalan yang secara jelas menyatakan bahawa soalan itu ialah soalan “ringkasan karangan”.

3)      Kenal pasti fokus soalan, seperti langkah, punca, kesan, faktor-faktor, sebab, dan sebagainya.

4)      Garisi setiap perkataan yang menjadi penanda tugasan soalan supaya tumpuan perhatian calon berpusat kepada kehendak soalan.

5)      Garisi jumlah perkataan yang perlu ditulis seperti yang telah ditetapkan.

Menulis Ringkasan
1)      Cara penulisan ringkasan amat penting untuk memperoleh markah yang cemerlang.

2)      Jawapan ringkasan calon perlu memuatkan ayat yang mengandungi isi-isi penting sahaja.

3)      Oleh itu, sebarang ayat yang berupa huraian atau contoh perlu digugurkan.



Menyemak Ringkasan
1)      Semak ringkasan calon secara keseluruhan sebaik sahaja selesai menulis.

2)      Perkara-perkara yang perlu disemak oleh calon ialah ejaan, tanda bacaan, dan aspek tatabahasa.

3)      Sebarang kesilapan yang tidak disengajakan oleh calon dapat diperbetul untuk mengelakkan pemotongan markah.

4)      Seterusnya, pastikan bahawa jumlah perkataan bagi ringkasan calon dalam lingkungan yang telah ditetapkan oleh arahan soalan.

5)      Untuk mekluman calon, jumlah perkataan untuk sesuatu ringkasan mungkin berubah-ubah dari setahun ke setahun. Oleh itu, calon harus meneliti arahan soalan.

6)      Walau bagaimanapun, panjang ringkasan calon tidak boleh melebihi jumlah perkataan yang telah ditetapkan, iaitu 80 patah perkataan.

7)      Bagi memastikan pengiraan calon tepat , perkara-perkara yang berikut harus dikira sebagai patah perkataan:




8)      Jika jumlah perkataan ringkasan calon kurang daripada perkataan yang telah ditetapkan, lakukanlah penambahan perkataan yang perlu.

9)      Sebaliknya, jika jumlah perkataan ringkasan calon lebih daripada jumlah yang telah ditetapkan, lakukanlah pengurangan kata-kata yang tidak begitu penting.

10)  Akhir sekali, catat jumlah perkataan bagi ringkasan calon dalam kurungan dan tulis pada sudut kanan, iaitu di bawah baris akhir ringkasan tersebut.